SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Antara frasa nama dengan kata nama majmuk

SATU aspek tatabahasa bahasa Melayu yang selalu menimbulkan keraguan di kalangan pelajar ialah perbezaan antara bentuk frasa nama dengan kata nama majmuk. Sebagai contoh, antara “dinding putih” dan “papan putih”, yang manakah frasa nama dan yang manakah kata nama majmuk?

Rasanya elok juga dihuraikan sedikit perkara ini, dengan harapan akan mengurangkan kekeliruannya.

Frasa nama ialah deretan perkataan yang kata intinya ialah kata nama. Dalam ungkapan “dinding putih” kata intinya ialah “dinding”, iaitu kata nama, manakala “putih” ialah kata adjektif yang menerangkan kata nama. Ini contoh frasa nama, contoh frasa nama lain ialah “rumah besar” dan “pelajar baharu”.

Dalam bidang pendidikan, terdapat sejenis alat yang digunakan untuk mengajar, yang berwarna putih dan disebut “papan putih”. Alat ini tidak semestinya diperbuat daripada papan, tetapi pada suatu ketika mungkin demikian. Dulu warnanya hitam, maka disebut “papan hitam”, kemudian berwarna hijau, disebut “papan hijau”. Kini warnanya putih, maka disebut “papan putih”.

Dalam kes ini, oleh sebab percantuman perkataan “papan” dengan “putih/hitam/hijau” telah menimbulkan makna yang tersendiri daripada maksud perkataan “papan” /putih/hitam/hijau, maka rangkaian perkataan ini, iaitu “papan putih”, “papan hitam” dan “papan hijau”, tidak lagi bersifat frasa nama tetapi sebaliknya, kata nama majmuk.

Itulah perbezaan antara frasa nama (misalnya dinding putih) dengan kata nama majmuk (papan putih). Dalam frasa nama terdapat rentetan perkataan yang kata intinya kata nama dengan maksudnya sebagaimana tergambar melalui perkataan yang digunakan. Dalam contoh ini, frasa nama terdiri daripada kata nama diikuti oleh kata adjektif.

Frasa nama boleh juga terdiri daripada kata nama diikuti oleh kata nama, misalnya “rumah batu”, “simpang kanan”, dan “meja kayu”. Dalam hal ini, kata nama pertama menjadi kata inti dengan kata nama kedua berfungsi sebagai penerang.

Kata majmuk pula ialah percantuman dua perkataan atau lebih yang membawa pengertian baharu, terlepas daripada maksud asal perkataan yang membentuknya. “Meja” dan “bulat” masing-masing mempunyai erti tersendiri, tetapi percantuman kedua-dua perkataan ini menghasilkan “meja bulat” yang bererti satu pertemuan antara pihak yang terbabit bagi penyelesaian masalah. Contoh lain kata majmuk ialah “nasi minyak”, “bom tangan”, “biru laut”, “kuning langsat”, “kertas kerja”, “meja tulis”, “anak emas”, dan “kaki bangku”.

Dalam contoh “nasi minyak” dan “bom tangan”, rangkaian kata ini terdiri daripada dua kata nama. Dalam contoh “biru laut” dan “kuning langsat”, susunan katanya ialah kata adjektif diikuti oleh kata nama. Jenis ketiga, “kertas kerja” dan “meja tulis”, berupa kata nama diikuti kata kerja, manakala jenis kata majmuk yang terakhir, “anak emas” dan “kaki bangku” ialah yang berbentuk simpulan bahasa.

Satu ciri penting tentang kata majmuk ialah tidak dapat diselitkan apa-apa perkataan pertama dengan perkataan kedua. Tidak terdapat, misalnya, “nasi yang minyak” atau “bom dengan tangan”. Tetapi boleh didapati “papan yang putih” dan “rumah kepunyaan saya”. Dua contoh yang akhir ini ialah frasa nama, yang tidak terikat dengan peraturan itu. Itulah perbezaan besar antara kata nama majmuk dengan frasa nama.

Kadang-kadang satu deretan perkataan dapat berfungsi sebagai frasa nama dan juga kata nama majmuk. Contohnya ialah “rumah putih”. Sebagai frasa nama, maksudnya ialah rumah yang berwarna putih. Tetapi sekiranya huruf pertama dalam kedua-dua perkataan dalam rangkaian itu ditulis dengan huruf besar, “Rumah Putih”, maka yang terhasil ialah kata nama majmuk, iaitu nama khas yang merujuk rumah kediaman rasmi.










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/