SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Cerpen : Rumah kayu atap genting

Oleh MAULANA PUTERA

MENJELANG Hari Raya Haji tahun ini, genaplah sudah setahun Pak Mat tinggal berasingan di rumah kayu atap genting di pinggir hutan yang agak sunyi itu walaupun ia kelihatan comel dan menarik. Mungkin ramai dari jiran-jiran dan kaum keluarganya tidak mengetahui rahsia di sebalik perpindahannya ke situ. Dia lebih senang perpindahannya itu dirahsiakan dan dianggap sebagai satu pengorbanan. Berkorban demi masa depan anak-anaknya.

Rumah kayu atap genting yang agak istimewa bagi seorang tua sepertinya itu juga satu sejarah istimewa dan merupakan satu pengorbanan bagi Pak Mat. Ia sesuai dengan perpindahannya dulu yang mengambil sempena dengan Hari Raya Korban di mana umat Islam yang berkemampuan digalakkan atau dituntut supaya menunaikan ibadat korban walaupun ia tidak diwajibkan.

Sebelum melelapkan matanya setiap malam, Pak Mat sering membayangkan semangat berkorban yang ditonjolkan oleh seorang anak, Ismail merelakan ayahnya, Nabi Ibrahim menyembelih lehernya semata-mata bagi mentaati perintah Allah dan agama Islam yang suci itu.

Sebagai manusia biasa, lagi kerdil, dia tidak dapat menggambarkan macam mana Nabi Ismail sanggup menyembelih anak darah dagingnya sendiri walaupun ia ditukarkan menjadi seekor kibas atau kambing. Itulah sebenarnya kuasa dan kebesaran Allah subhanahu wa taala.

Siapa saja yang melihatnya dari luar atau melalui kawasan tersebut tentunya akan tertarik dengan keindahan senario rumah itu. Rumah kecil agak sederhana yang mempunyai dua bilik tidur, ruang tamu, dapur dan bilik air itu siap dibina dan mula diduduki kira-kira setahun lepas.

Rumah kayu itu yang dipagar sekelilingnya agak berlainan dengan rumah-rumah lain yang terdapat di kawasan tersebut. Rumah-rumah yang lain itu ala ``rumah teres'' dibina daripada batu batan dan simen dengan atap asbestos seakan-akan berek pekerja-pekerja estet. Namun, juga terdapat beberapa buah rumah ``ala banglo'' dibina di situ termasuk rumah dua tingkat yang juga beratap genting.

Pak Mat mengambil keputusan mengejut membina rumah tersebut kerana ia menggunakan konsep rumah ``pasang siap'' diperbuat daripada kayu masak yang agak teguh dikatakan tidak dimakan anai-anai, makhluk perosak musuh kayu.

Pembinaan dijadualkan siap dalam masa enam minggu. Sebaliknya ia telah mengambil masa lebih daripada enam bulan. Itu pun tidak siap sepenuhnya. Pak Mat terpaksa mengupah orang lain bagi menyiapkan sebahagian longkang yang masih terbengkalai dan gril yang belum disempurnakan oleh pemaju bumiputera seperti yang dijanjikan itu.

``Sudahlah harganya mahal sekali ganda. Janji siap enam minggu, enam bulan pun masih belum siap lagi. Pak Mat sering merungut bila berbicara tentang rumah itu.

Pak Mat bersetuju menandatangani pembinaan rumah tersebut dengan harga RM35,000 kerana mengikut jadualnya ia siap dalam tempoh enam minggu sahaja. Lebih-lebih lagi bila Pak Mat tergesa-gesa untuk berpindah rumah kerana keadaan yang amat mendesak ketika itu.

Tiga empat tahun lalu, rumah kayu model yang sama hanya kira-kira RM18,000 sahaja. Kini harganya telah melambung sekali ganda kerana harga kayu dikatakan turut melambung sejak kebelakangan ini.

Walaupun kenaikan harga kayu itu merupakan satu kebaikan kepada rakyat dan ekonomi Malaysia yang terkenal dengan hasil kayu-kayan tetapi kini kayu-kayu balak di Pahang, Sabah dan Sarawak, juga di Kelantan dan Terengganu khabarnya semakin hakis dan pupus.

Sebelum berpindah ke rumah kayu itu, pada bulan puasa dua tahun lalu Pak Mat banyak menunaikan ibadat puasanya bersama dengan anak-anaknya di rumah teres mereka di Seri Kembangan. Seperti biasa, pada tahun-tahun sebelumnya Pak Mat juga menunaikan solat sunat tarawih bersama-sama dengan kariah yang lain di Masjid UPM. Masjid itu jugalah tempat Pak Mat bersama anak bongsunya yang kini baru berusia sepuluh tahun itu menunaikan solat Jumaat.

Pada bulan puasa baru lalu yang jatuh pada penghujung tahun yang sama, kali pertama Pak Mat yang telah bersara dan berstatus duda itu, menunaikan puasa berasingan tanpa isteri dan anak-anak di rumah kayu yang terletak di tepi bukit itu. Namun Pak Mat masih lagi bernasib baik apabila seorang anak saudaranya dari kampung datang duduk bersama menemaninya di rumah tersebut.

Kes perceraian

Pada bulan puasa tahun-tahun sebelumnya. Pak Mat masih dapat menikmati sajian dan juadah-juadah lazat waktu berbuka puasa dengan isteri, anak-anak yang disayanginya di rumah teres mereka. Begitu juga ketika bangun makan sahur, dia tidak lupa anak bongsunya yang baru belajar berpuasa itu begitu liat untuk bangun, walaupun beberapa kali digerakkan oleh ibunya. Mak Mah dan abang dan kakaknya yang lain.

Berlainan dengan Pak Mat semasa zaman kanak-kanaknya di kampung dulu, emaknya tidak membenarkan dia untuk berpuasa kerana khuatir anaknya yang belajar di sekolah Inggeris itu akan lapar dan tidak boleh memberi tumpuan kepada pelajarannya.

Di zaman dewasanya sebelum bersara, Pak Mat, nama betulnya Mat Daud terkenang semasa dia bertugas di Pulau pinang sedangkan isteri dan anak-anaknya tidak berpindah dan terus tinggal di Alor Star.

Pada bulan puasa Pak Mat terpaksa berulang setiap hari dari Alor Star ke Pulau Pinang dengan kereta second-hand jenis Datsun 160B yang pertama dimilikinya. Sepanjang bulan Ramadan itu, bila habis kerja sebelum berlepas pulang pada setiap petang Pak Mat membeli teh bungkus dan roti canai atau kuih untuk berbuka puasa di tengah jalan.

Dia hanya berbuka puasa sepenuhnya bila tiba di rumah sewanya di Alor Star. Selepas bangun sahur dan menunaikan solat subuh pada sebelah paginya, Pak Mat balik semula ke Pulau Pinang tempat kerjanya bagi mencari rezeki untuk menanggung anak-anak dan isterinya. Itu juga korban namanya, di samping tanggungjawab sebagai seorang ayah.

Yang lebih menarik lagi, biasanya sepanjang bulan Ramadan tiap tahun, ibu mentuanya Opah tinggal dengan mereka bagi menunaikan ibadat puasa itu. Pak Mat sebenarnya kasihan kepada nasib Opah kerana tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap seolah-olah unrest hingga ke akhir hayatnya. Semoga roh Opah mendapat ketenangan dan kebahagiaan di akhirat.

Sebenarnya Opah terpaksa tinggal secara bergilir-gilir di rumah beberapa orang anaknya. Tiga orang anaknya yang kesemuanya telah berumah tangga mempunyai keluarga masing-masing tinggal di sekitar Lembah Klang. Selain anak bongsunya, Mak Mah nama panjangnya Halimah, seorang lagi anak perempuannya tinggal di Ampang dan seorang anak lelakinya tinggal di Datuk Keramat.

Dua orang lagi anak lelakinya menetap di Pahang. Pak Long yang telah bersara dari profesion ustaz menetap di Kuantan. Mereka telah memiliki sebuah rumah yang agak selesa di Taman Guru, Jalan Gambang. Abdul bersama keluarganya yang ramai menetap di kampung asal mereka di Kuala Lipis sekampung dengan Siti Nurhaliza, penyanyi nombor satu negara. Setelah bersara dari pasukan tentera, dia mengambil keputusan untuk balik kampung mendirikan rumah di sana mungkin untuk menguruskan beberapa keping tanah dan harta kepunyaan Allahyarham ibunya.

Pak Mat membuat keputusan mengejut mendirikan rumah kayu yang sederhana itu selepas bekas isterinya, Mak Mah mahu berpindah semula ke rumah teres mereka di Taman Sri Kembangan bersama dengan enam orang anak mereka. Pak Mat terpaksalah mengalah demi kebahagiaan dan keselesaan anak-anaknya. Sebelum itu, selepas mereka berpisah Mak Mah tinggal menyewa rumah flat berdekatan di situ.

Sebenarnya mereka berdua telah berpisah ``cerai talak 2'' sempena bulan merdeka pada Ogos tahun 2000 selepas berlaku pertengkaran antara kedua-duanya yang menamatkan alam perkahwinan dan hidup berumah tangga mereka yang telah dibina 25 tahun yang lalu.

Malangnya, perkahwinan dan rumah yang mereka bina atas dasar suka sama suka itu akhirnya runtuh juga dan hanya boleh bertahan selama 25 tahun sahaja.

``Itulah takdir, kita tidak boleh lari darinya. Walaupun tidak ada niat dalam hati saya untuk bercerai tapi bila dia beria-ia benar mendesak, beberapa kali minta cerai pada malam itu, perkataan itu secara spontan terkeluar daripada mulut saya,'' jelas Mat Daud kepada Kak Yah, bekas kakak iparnya.

Kak Yah hanya menunjukkan muka simpati dan menganggukkan kepalanya. Seorang lagi kakak iparnya, kakak kepada Halimah dan suaminya yang turut hadir di Mahkamah Syariah bagi mengikuti perbicaraan kes perceraian mereka turut menonjolkan simpati masing-masing.

Kak Yah ialah isteri kepada Abdul, bekas abang iparnya yang meletakkan kesemua kesalahan ke atasnya sebagai punca berlakunya perceraian tersebut yang menurutnya boleh dielakkan dan terletak di tangan si suami. ini bermakna, Abdul tidak menerima takdir Allah dan menolak qada dan qadar yang berlaku ke atas manusia yang tidak terkecuali kepada pasangan Mat Daud dan Halimah itu.

Hasil perkongsian hidup antara Mat Daud dan Halimah yang baru saja merayakan ``jubli perak'' perkahwinan ketika perceraian itu, mereka telah dikurniakan enam orang cahaya mata, empat putera dan dua puteri.

Anak sulungnya, lelaki, Azam yang menjadi harapan ibunya kini bekerja sebagai seorang pegawai perkeranian di sebuah bank swasta. Azam hanya lulus Gred 3 SPM. Azam tidak serius dalam pelajarannya walaupun dia seorang murid cemerlang di peringkat awal di sekolah rendah semasa Pak Mat bertugas di Alor Star dulu.

Anak keduanya, Tina juga bekerja sementara dengan sebuah syarikat swasta di Subang Jaya. Tina juga masih belajar secara sambilan bagi menghabiskan beberapa mata pelajaran yang dia belum lulus dalam kursus ijazah setiausaha syarikat (JCSA) yang diambilnya dengan sebuah Institut Profesional Swasta (IPS) di Kuala Lumpur.

Program berkembar

Sebelum melanjutkan pengajian di IPS, Tina berjaya mendapat Gred 1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di MRSM Jasin, Melaka. Dia memohon untuk mengambil kursus dalam jurusan akaun tetapi ditukarkan kepada ICSA kerana tidak ramai pelajar yang memohon masuk jurusan akaun pada tahun itu.

Tina dan kawan-kawannya yang terpaksa mengambil jurusan ICSA yang ditawarkan oleh IPS itu kebanyakannya tidak lulus setelah tempoh pengajian mereka tamat. Punca kegagalan Tina dan ramai kawannya disebabkan IPS itu tidak mempunyai tenaga pengajar yang cukup dan betul-betul berkelayakan dalam jurusan tersebut.

Pada fikiran Pak Mat , tenaga profesional atau korporat walaupun mempunyai kelulusan dalam bidang berkenaan tetapi belum tentu mereka boleh mengajar dengan baik. Selain mengajar sambilan untuk menambah pendapatan, tenaga korporat seperti itu belum tentu boleh menyalurkan ilmu dengan baik dan berkesan kepada para pelajarnya.

Walaupun kursus ICSA anjuran IPS itu merupakan program kembar dengan sebuah universiti di London tetapi universiti terbabit tidak menghantar atau menempatkan wakilnya di IPS Kuala Lumpur. Inilah punca-punca kegagalan Tina dan rakan-rakannya itu. Yang menjadi mangsanya ialah pelajar-pelajar berkenaan bukannya IPS. Tenaga pengajarnya dan Lembaga Pengelola IPS termasuk Tan Sri pengerusinya mendapat gaji agak lumayan setiap bulan.

Mat Daud masih ingat lagi, dia membuat keputusan untuk menghantar anak perempuannya itu belajar di IPS kerana institut berkenaan memberikan bantuan kewangan Baitulmal kepada pelajar-pelajar yang berjaya meliputi duit bayaran asrama dan akademik termasuk buku-buku teks sepanjang pengajian tersebut. Pada hal Tina sendiri menerima tawaran lain untuk belajar jurusan akaun di UUM di Kedah yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand yang agak jauh.

Anak ketiga pasangan itu, Mona yang bersikap happy go lucky pula baru saja menduduki peperiksaan akhir diploma jurusan Sains Sukan dan Rekreasi di UiTM Shah Alam. Namun sejak awal kedua-dua ibu bapanya yang telah berpisah itu tidaklah begitu menaruh harapan yang besar terhadap Mona memandangkan perangai dan sikap anak gadisnya yang agak liar itu berbanding dengan kakaknya.

Keputusan peperiksaan akhirnya yang diketahui semasa cuti semester penghujung tahun lalu, Mona terpaksa mengulang beberapa mata pelajaran lagi. Sebelum ini pun dia terpaksa meminta cuti dan menangguhkan pengajiannya selama satu semester atas sebab-sebab peribadi dan tidak dapat memberi tumpuan untuk belajar.

Kedua-dua beradik itu, Mona dan Tina tidak sebulu dalam banyak hal walaupun mereka hanya dua orang saja perempuan dalam keluarga di samping ibu mereka, Mak Mah. Tiga orang lagi anak lelaki Mat Daud dan Halimah, Mohamad Fairus baru saja memulakan kursus dalam jurusan Sistem Kejuruteraan Komputer di sebuah kolej swasta di Pahang, Adiknya, Mohamad Ruzaini yang belajar di MRSM di Kedah sama seperti kakaknya, Tina juga baru menduduki peperiksaan PMR dengan hanya mendapat 6A dan 2B manakala anak bongsu mereka, Khairi masih belajar dalam Tahap 2, baru naik darjah lima tahun ini di sekolah kebangsaan berdekatan dengan rumah mereka.

Dalam tempoh setahun berpindah duduk di rumah sewa kayu atap genting itu, Pak Mat buat beberapa ketika ditemani oleh dua anak perempuannya. Ketika mula berpindah dulu Pak Mat ditemani oleh Tina yang kononnya bertindak untuk menjaga rumah teres mereka, tinggal bersama ibunya atas alasan dekat dengan tempat kerjanya. Ataupun senang untuk berjumpa dengan boy friendnya?

Mona yang lebih rapat dengan emaknya, dibawa oleh Pak Mat tinggal bersama menemaninya di rumah kayu itu kemudiannya setelah dia melakukan kesalahan peribadi dan berlaku sedikit pertengkaran dengan ibunya. Gelagat Mona yang agak lincah dan periang itu kemudiannya bertukar menjadi pendiam dan suka tidur di siang hari. Walaupun pada hal-hal yang lain mereka tidak sehaluan. Seperti Tina, Mona juga akhirnya balik ke pangkuan Mak Mah.

Mat Daud teringatkan kebenaran kata-kata Mak Cik Wok: biasanya anak-anak lebih sayang dan rapat dengan ibunya. Anak perempuan tinggalkan bapa bila berkahwin dan mengikut suaminya.

Mak Cik Wok, adik angkat yang rapat dengan allahyarham ibunya di kampung memberikan kata-kata hikmat itu bila dia meminta Mat Daud yang berpangkat anak kepadanya supaya rujuk atau berkahwin semula dengan Halimah.

Lebih-lebih lagi bila memandangkan kedua mereka baru saja bergelar ``anak yatim'' berikutan baru kematian ibu masing-masing sebelum berlakunya perceraian itu. Kedua-dua bapa Mat Daud dan Halimah telah lama meninggal dunia sebelum mereka berdua berkahwin dulu.

Dia berpesan pada Mat Daud meminta Halimah datang berjumpa dengannya bagi membincangkan gencatan senjata dan pencatuman mereka berdua.

Mengambil sempena dengan hari baik bulan baik ini, mungkinkah Mat Daud dan Halimah akan bersatu semula? Hari Raya Haji ini juga terkenal dengan hari raya Korban yang dikatakan banyak mengandungi rahsia pengorbanan, mukjizat dan kebaikan?

Apakah Mak Cik Wok akan memulakan tugas dan misi pentingnya bagi mencari formula ``gencatan senjata'' untuk mencantum dan menggerakkan semula pelayaran bahtera Mat Daud dan Halimah yang telah terputus tali layarnya akibat dipukul ombak dan taufan yang kencang itu?

Tanda tanya ini sering bermain di kotak fikiran Mat Daud. Namun, dia tetap akur dengan pendapat bahawa manusia hanya boleh merancang dan Allah yang menentukan.




Sumber : Utusan Malaysia





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/