SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Komputer masa depan mampu baiki diri sendiri

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad

PENGGUNA komputer dijangka menikmati era teknologi pengkomputeran termaju dalam tempoh beberapa tahun akan datang yang menyaksikan komputer berupaya mengatasi segala gangguan yang dihadapinya dengan sendiri tanpa bantuan manusia.

Naib Presiden IBM Asia Pasifik (Pengkomputeran Peribadi), Ravi Marwaha berkata, semua teknologi termaju itu terangkum dalam inisiatif teknologi ThinkVantage dengan sasaran ke arah memberikan kemudahan dalam penggunaan komputer pada masa depan.

Katanya, antara teknologi baru itu ialah rumusan Lifeboat dengan penyediaan teknologi pemulihan komputer yang membolehkan mesin itu terus menjalankan fungsinya dengan baik walaupun berhadapan dalam persekitaran cakera keras sudah ‘mati’ atau hendak ‘boot’.

“Kini tidak ada jalan singkat yang membolehkan komputer bermasalah diperbaiki dengan segera. Tetapi melalui teknologi baru yang bakal diperkenalkan IBM nanti mampu menyelamat data dan aplikasi pengguna dalam persekitaran sukar.

“Dengan pengenalan teknologi ini, segala usaha pemulihan pengkomputeran diatasi tanpa menggunakan proses biasa,” katanya kepada media di Kuala Lumpur, minggu lalu.

Marwaha berkata, di samping itu, era baru komputer akan menyaksikan teknologi pengkomputeran tanpa wayar seperti DWSA yang membolehkan pengguna mengakses maklumat melalui kemudahan titik akses tanpa wayar.

Katanya, bersama teknologi tanpa wayar itu juga akan tersedia penggunaan subsistem keselamatan sedia bina (ESS) yang menyediakan tahap keselamatan paling tinggi bersama teknologi berasaskan perkakasan dan perisian.

“ESS bagaimanapun kini sudah disediakan pada beberapa jenis notebook ThinkPad IBM dan ia satu-satunya teknologi terdapat dalam industri sekarang. ESS mampu melindungi data, mengurangkan kos sokongan teknologi maklumat (IT) dan menyediakan kepada pengguna pengetahuan menggunakan komputer paling selamat dalam industri,” katanya.

Beliau juga berkata, pengkomputeran masa depan juga akan menyaksikan teknologi sambungan segera yang membolehkan komputer berkenaan mengesan jenis sambungan, berwayar atau tanpa wayar dan seterusnya melakukan konfigurasi sendiri.

“Teknologi ini mengatasi masalah untuk mengingati alamat protokol Internet (IP) atau kekunci sulit lain,” katanya.










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/