SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Melayu kurang sertai aliran kemahiran tinggi

Oleh Mutazar Abd Ghani dan Ridzuan Yop

KEKURANGAN pelajar Melayu dalam aliran teknikal serta sains berunsur teknologi tinggi bakal menyumbang kepada kemerosotan penyertaan kaum Melayu dalam bidang profesional berasaskan sains dan teknologi pada masa depan.

Dalam satu kajian Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati, secara keseluruhannya peratus pelajar Melayu di sekolah menengah dalam aliran sastera jauh lebih tinggi berbanding peratus pelajar kaum lain, manakala dalam aliran sains, peratus pelajar Cina mengatasi semua kaum.

Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Prof Madya Dr Aminah Ayob, berkata dalam kajian berkaitan sikap dan motivasi pelajar Melayu itu mendapati, bilangan pelajar Melayu dalam aliran vokasional pula sangat tinggi iaitu 95.2 peratus.

Namun katanya, bidang itu hanya menyediakan pelajar dalam bidang pekerjaan di sektor pekilangan di peringkat kemahiran asas atau rendah saja.

"Peratus pelajar Cina pula dalam aliran teknologi jauh melebihi pelajar Melayu dan ternyata bidang teknikal berunsur teknologi moden menjadi tumpuan pelajar bukan Melayu.

“Pelajar Melayu hanya sanggup mengikuti bidang kemahiran teknikal rendah saja dan kecenderungan ini tidak menggalakkan penyertaan Melayu dalam bidang kejuruteraan dan teknologi tinggi.

“Keadaan ini sudah tentu bakal menyumbang kepada kemerosotan penyertaan kaum Melayu dalam bidang profesional berasaskan sains dan teknologi pada masa depan,” katanya ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk `Pencapaian Pelajar Bumiputera Pulau Pinang', pada Konvensyen Pendidikan Umno Pulau Pinang, di Dewan Milenium, Butterworth, Sabtu lalu.

Sementara itu, katanya, oleh kerana peluang pekerjaan yang banyak dalam sektor industri di Pulau Pinang, adalah dikhuatiri ramai pelajar Melayu terpengaruh dengan memasuki bidang pekerjaan, selepas tamat pendidikan menengah dan tidak mahu lagi meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi.

"Oleh itu, usaha perlu dijalankan supaya anak Melayu mahu terus belajar daripada bekerja di kilang hanya sebagai operator pengeluaran atau buruh," katanya.

Sementara itu, kajian berkenaan juga mendapati pelajar Melayu yang berpencapaian rendah disebabkan tiga faktor utama iaitu kurang membuat latihan tambahan, tidak menyelesaikan kerja rumah dan kurang berdikari dalam pembelajaran.

Menurut Dr Aminah faktor berkenaan menjadi penghalang utama pelajar Melayu yang berpencapaian rendah, walaupun mereka memiliki ciri positif seperti menghormati guru, rajin dan mahu mencuba untuk belajar, tetapi disebabkan cara belajar yang salah (mereka suka menghafal), penguasaan ilmu tidak dapat dicapai.

Katanya, kajian mendapati pelajar dalam golongan itu tidak mahu membuat latihan tambahan atau selain yang diberikan guru membabitkan 73 peratus, gagal menyelesaikan kerja rumah kerana tidak tahu buat atau malas buat (50 peratus), kurang berdikari dalam pembelajaran kerana terlalu bergantung kepada guru (48 peratus).

"Dari segi amalan pembelajaran, kajian ini mendapati 65 peratus pelajar Melayu tidak menggunakan teknik belajar yang betul untuk menguasai serta memahami pembelajaran," katanya.

Dr Aminah berkata, 53 peratus lagi tidak suka membaca atau tidak mahu dan suka mengelak menjawab soalan yang sukar; tidak suka kerja rumah (38 peratus) dan 33 peratus lagi suka mendiamkan diri atau tidak mahu bercakap atau bertanya dalam kelas.

"Oleh itu, pelajar Melayu, walaupun rajin tetapi tidak mahu membuat kerja rumah yang lebih dan hanya bergantung kepada yang diberi oleh guru saja," katanya yang turut menegaskan pelajar golongan itu juga tidak mampu menyelesaikan tugasan yang sukar dan tidak suka membaca bahan pembelajaran lain.










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/